Friday, January 28, 2011

Briged Bestari SK Undang Jelebu



Briged Bestari SK Undang Jelebu akan memulakan operasi pertamanya pada awal Februari 2011. Briged yang  dianggotai oleh 30 orang pelajar tahun 4 dan 5 serta 3 orang guru penasihat akan memulakan aktiviti pertama  setelah majlis pelancaran dilakukan oleh Guru Besar Cemerlang, En Zulkifli Osman. 
Briged Bestari akan beroperasi di Bilik Kesihatan Sekolah dalam proses menyelaras  beberapa aktiviti briged yang bakal dilakukan dalam tahun 2011.


UNDANG-UNDANG KECIL BRIGED BESTARI

BRIGED BESTARI SEKOLAH

Briged Bestari ditubuhkan bagi membantu sekolah menjayakan Program Sekolah Bestari serta membantu pelbagai program teknologi maklumat dan komunikasi lain berjalan lancar. Program teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semakin bertambah di sekolah dan bagi melicinkan pelaksanaan program ini, sebuah badan khas seperti Briged Bestari diwujudkan.

 

Pencapaian pelaksanaan Sekolah Bestari melibatkan lima komponen utama iaitu pelajar, guru, pentadbir, pengintegrasian teknologi dan penglibatan ibu bapa atau penjaga/komuniti. Terdapat pelajar yang berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan kelompok pelajar ini memerlukan ruang untuk mengembang dan menggunakan kemahiran mereka. Briged Bestari bukan sahaja dapat membantu menggerak dan memantapkan penggunaan ‘ICT’ di sekolah, ianya juga dapat memberi ruang kepada pelajar yang berkemahiran menyalurkan kepakaran mereka ke arah yang positif. Dengan demikian, adalah menjadi satu harapan setiap warga sekolah akan mendapat manafaat daripada penubuhan pasukan ini melalui aktiviti sokongan, latihan dan penyenggaraan komputer.
Memandangkan wujudnya keperluan semasa untuk memantapkan pengurusan Sekolah Bestari, Briged Bestari perlu ditubuhkan sebagai agen pemangkin kepada pembestarian sekolah. Komitmen pelajar bukan hanya terbatas kepada penggunaan kemudahan teknologi yang dibekalkan tetapi merangkumi aspek teknikal agar faedah program ini dapat dioptimumkan kepada semua warga sekolah dan masyarakat umum.
Antara objektif penubuhan Briged Bestari adalah untuk:
  • Membentuk wadah perkongsian ilmu, minat dan kepakaran dalam menggunakan aplikasi Sistem Pengurusan Sekolah Bestari.
  • Menjadi agen penggerak bagi membantu melancarkan pelaksanaan Sistem Pengurusan Sekolah Bestari.
  • Melatih kumpulan pelajar yang berminat dan berkeupayaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
  • Menggembleng ilmu dan kepakaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan pelajar untuk kegunaan positif.
  • Memberi peluang kepada pelajar berkongsi kemahiran dan seterusnya menyebarkan ilmu kepakaran mereka dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi kepada rakan-rakan yang lain di sekolah.
Fungsi
Antara fungsi penting Briged Bestari adalah :
  1. Membimbing rakan sebaya dalam penggunaan aplikasi Sistem Pengurusan Sekolah Bestari.
  2. Membantu proses pengisian data dalam beberapa aplikasi Sistem Pengurusan Sekolah Bestari.
  3. Membantu menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan teknikal semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
  4. Membantu kerja-kerja penyelenggaraan yang mudah serta pengawasan perkakasan dan perisian.
  5. Membantu menyebarkan maklumat terkini berkaitan Sekolah Bestari.
  6. Membantu memastikan program ICT di sekolah yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berjalan lancar sebagaimana yang telah dirancangkan.
Pakaian Seragam
  • Menggunakan logo rasmi yang telah ditetap dan di seragamkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia, dan/atau
  • Penggunaan tanda nama, dan/atau
  • Baju T atau vest.
Dasar Keselamatan
  • Ahli Briged Bestari mesti mematuhi peraturan penggunaan makmal komputer dan dasar keselamatan sistem bestari.
Penggunaan Infrastruktur
  • Ahli Briged Bestari mesti pada setiap masa mematuhi peraturan penggunaan infrastruktur teknologi sekolah.
Penggunaan Bilik
  • Ahli Briged Bestari mesti sentiasa mematuhi peraturan penggunaan bilik operasi/makmal bestari.
Peraturan Sekolah
  • Ahli Briged Bestari adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan sekolah.
Tugas dan Tanggungjawab
  • Ahli Briged Bestari wajib hadir bertugas mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ketidakhadiran sebanyak tiga kali tanpa sebarang alasan yang munasabah akan dikenakan tindakan mengikut peraturan sekolah.
  • Ahli Briged Bestari boleh dipanggil bertugas pada bila-bila masa mengikut keperluan.
  • Setiap ahli Briged Bestari perlu merekodkan tugas harian mereka.
Keselamatan
  • Ahli tidak dibenarkan menyimpan kunci bilik operasi atau makmal bestari yang berkaitan.
  • Ahli bertugas perlu merekodkan pengambilan kunci.
Kerosakan
  • Sebarang kerosakan hendaklah direkod dan dilaporkan kepada Penyelaras Briged Bestari.
  • Kerja-kerja penyelenggaraan peralatan ‘ICT’ hanya boleh dilakukan oleh penyelaras atau pegawai yang diberi kuasa oleh penyelaras.
Kewangan
  • Wang Briged Bestari hanya boleh digunakan dengan kelulusan mesyuarat.
  • Penggunaan wang untuk kes-kes kecemasan adalah mengikut budi bicara Penyelaras.
  • Penyalahgunaan wang akan dikenakan tindakan mengikut peraturan sekolah.
  • Laporan kewangan hendaklah sentiasa dikemaskini, dibentang dan disahkan dalam mesyuarat.
  • Sekiranya Briged Bestari menerima sumbangan berupa wang, wang tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam akaun PIBG sekolah. Jika sumbangan yang diberikan itu berbentuk peralatan atau bahan-bahan lain, ia hendaklah didaftarkan sebagai harta modal sekolah.
Peraturan-peraturan Lain
  • Segala peraturan Briged Bestari adalah sentiasa tertakluk kepada peraturan-peraturan semasa yang berkuat kuasa sama ada peraturan sekolah atau sebarang peraturan tambahan yang diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa Briged Bestari.